Oleh kerana Ratu tidak menerima rawatan dalam tempoh yang panjang, tubuhnya terjejas teruk. Ratu tidak dapat menelan sebarang ubat, malah hilang selera menjamah makanan. keadaannya yang lemah juga menyebabkannya tidak mampu menjalani rawatan akupuntur. Setelah diperiksa, beliau didapati menghidap sakit beriberi.
Geum Young yang bertugas menyediakan makanan ratu, diminta oleh pihak doktor agar menyediakan makanan yang mengandungi bawang putih, kacang merah, barli serta beberapa jenis bahan lain yang baik untuk mengatasi sakit beriberi. Malangnya, kesemua makanan ini merupakan makanan yang tidak disukai Ratu. Jang Geum yang mengetahui hal ini, telah merayu kepada Geum Young untuk memberinya menu makanan baginda ratu agar dapat memepelajari corak pemakanannya.
Jang Geum berjumpa Dr Shin dan menyatakan mungkin penyakit beriberi baginda ratu disebabkan oleh corak pemakanannya yang langsung tidak mahu menjamah beberapa jenis bahan yang baik untuk kesihatan tubuh, seperti bawang putih, dan mempunyai mekenana kegemaran lain yang tidak elok untuk kesihatan. Jang Geum mencadangkan agar mencampurkan kesemua bahan yang baik untuk merawat beriberi dan dibentuk menjadi tablet yang kelihatan seperti ubat. Dr Shin bersetuju dan meminta Jang Geum sendiri melaksanakannya, namun merahsiakan bahan-bahannya daripada sesiapa buat masa tersebut.
Semasa waktu makan, baginda ratu seperti biasa menolak makanan yang disediakan kerana terasa mahu muntah. Ketika Jang Geum memberi tablet yang dibuatnya, ternyata Ratu boleh menerimanya, malah menyukai rasanya. Ini sudah tentu mengecewakan Geum Young, Puan Choi dan Yuh Ri. Yuh Ri yang tidak berpuas hati bersemuka dengan Dr Shin dan menyatakan tugasan membuat tablet adalah kerjanya dan tidak patut diberikan kepada Jang Geum yang hanya seorang pelatih. Sebaliknya Dr Shin menjawab kerja tersebut memang diberi kepada Jang Geum kerana dia lebih sesuai.
Yuh Ri yang dengki tahap gaban, mula mengekori Jang Geum yang menggunakan dapur di kediaman Yeon Saeng untuk melihat sendiri bahan-bahan tablet tersebut. Selepas mengetahui bahan-bahannya, Yuh Ri yang terkejut segera melaporkan kepada Dr Yoon Soo. Kebetulan Maharani muncul dan meminta Yuh Ri menunjukkan tempat tablet tersebut dibuat.
Kesemua yang melihat bahan utama tablet tersebut sangat terkejut, iaitu bawang putih. Maharani memandangnya sebagai satu penghinaan kerana bawang putih merupakan bahan yang paling tidak disukai Ratu. manakala pihak hospital memandangnya sebagai satu 'kerja bodoh', kerana tablet itu tidak mengandungi sebarang jenis ubatan, melainkan menggunakan bahan makanan semata-mata. Dr Shin dan Jang Geum digantikan dengan orang lain dan bakal dihukum.
Ketika ratu dibawakan sup berubat, maharani serta doktor lain rasa hairan kerana baginda ratu sudah dapat menerimanya malah kelihatan semakin sihat. Rupa-rupanya ia disebabkan oleh kesan tablet yang mengandungi bahan makanan yang memulihkan kesihatan dalaman Ratu. Dr Shin dan Jang Geum dipanggil untuk berjumpa Ratu. Pada masa inilah Dr Shin menjelaskan bahawa kesihatan yang baik bermula daripada cara pemakanan. Oleh kerana Ratu tidak mampu menerima sebarang ubat yang terlalu 'berat' untuk diterima tubuhnya, Dr Shin memutuskan bawang putih adalah 'ubat' terbaik untuk ratu untuk memulihkan sakitnya beransur-ansur. Dr Shin yang dipuji bagaimanapun memberitahu, sebenarnya kesemua itu adalah idea Jang Geum yang telah melakukan kajian ke atas corak pemakanan Ratu.
Jang Geum mendapat pujian di kalangan doktor-doktor wanita yang lain, suudah tentu membuatkan Yuh Ri semakin iri hati. Sida Sang San mencari Dr Shin dan Jang Geum dan berpesan agar mengenakan pakaian rasmi untuk menerima penghargaan daripada pihak istana.
Pada masa inilah Sida Sang San perasan bahawa Jang Geum adalah bekas wanita istana yang pernah betugas di dapur diraja suatu ketika dahulu. Sida Sang San yang memang rapat dengan Mendiang Puan Jung dan Puan Han (orang-orang yang turut rapat dengan Jang Geum), menyatakan beliau sendiri rasa sedih dengan kejadian itik sulfur yang menyebabkan huru-hara. Sida Sang San berpesan kepada Jang Geum, jika dia memerlukan pertolongan, jangan segan-segan untuk memberitahunya.
Puan Choi dan Dr Yoon Soo bertemu untuk membincangkan keadaan Jang Geum yang nampaknya semakin kukuh. Yuh Ri yang sudah beberapa kali ternampak akan pertemuan senyap-senyap itu, akhirnya mendapat tahu Jang Geum merupakan musuh Puan Choi.
Kejayaan Jang Geum diraihkan oleh kawan-kawan rapatnya, Puan Min, Chang serta Yeon Saeng. Mereka masak bersama-sama dan mengadakan makan-makan di kediaman Yeon Saeng. Pada waktu ini, Puan Min menimbulkan isu Yeon Saeng yang dikatakan telah bertembung dengan Maharaja tempoh hari. Puan Min memarahi Yeon Saeng bila mendapat tahu Yeon Saeng langsung tidak berani mengangkat muka memandang maharaja. Selepas selesai makan-makan, Puan Min dan Chang membawa Yeon Saeng ke kawasan taman untuk mendapatkan terapi yang kononnya untuk menaikkan seri wajah Yeon Saeng agar disukai maharaja. Puan Min mengajarnya cara menarik nafas semasa bulan purnama, agar dipenuhi dengan 'aura' kecantikan. Tidak cukup dengan itu, Puan Min mengajarnya tips-tips untuk memikat maharaja.
Pada masa yang sama, sebenarnya maharaja telah berkunjung ke kediaman Yeon Saeng. Ketika rombongan maharaja sampai, Yeon Saeng didapati tiada di rumahnya. Sida Sang San mengarahkan orangnya agar mencari Yeon Saeng di sekitar istana. Setelah ditemui, pengawal menyuruh Yeon Saeng cepat kembali ke kediamannya kerana maharaja sedang menunggu.kunjungan maharaja yang tidak disangka-sangka itu memeranjatkan mereka bertiga. Yeon Saeng cepat-cepat kembali, namun setibanya di kediaman, maharaja telah pun tiada kerana menunggu terlalu lama. Yeon Saeng terlalu sedih lalu menangis sehingga terlelap.
Namun, semasa Yeon Saeng terlelap, Maharaja datang kembali. Malam itu Yeon Saeng melayan maharaja bersantap, malah cuba mempraktikkan tips-tips yang diajar oleh Puan Min. Maharaja yang perasan akan Yeon Saeng yang ada inisiatif melayannya (berbanding senyap dan takut-takut sahaja seperti perangai semulajadinya), Maharaja segera bertanyakan dari mana Yeon Saeng mempelajarinya. Sudah tentu pertanyaan itu buat Yeon Saeng ketakutan, namun sebaliknya Maharaja rasa terhibur dan memuji Yeon Saeng sangat comel.
Jang Geum dipanggil Maharani untuk datang mengadapnya. Maharani mengucapkan terima kasih kerana Jang Geum telah menyelamatkannya semasa dia keguguran anak kembar tempoh hari. Maharani turut memuji tindakan Jang Geum yang berjaya memujuk Ratu menerima rawatan melalui teka-teki dan ideanya membuat tablet bawang putih. Maharani mulai perasan seperti pernah melihat Jang Geum sebelum ini. Tahulah dia Jang Geum merupakan wanita istana yang menjadi pembantu Puan Han suatu ketika dahulu. Maharani menyatakan bahawa beliau begitu merindui Puan Han, serta dapat memahami kesukaran Jang Geum yang dibuang istana menjadi hamba kerajaan selepas itu. Maharani memberitahu mungkin Jang Geum mahu mendapatkan keadilan untuk Puan Han, namun ini bukan masanya. Malah maharani berjanji, tiba masanya dia pasti akan membantu Jang Geum. Ini pasti satu perkara yang menyenangkan hati Jang Geum.
Maharani yang masih ingat akan masakan gulungan penkek gandum Jang Geum pada hari pertandingan suatu ketika dahulu, meminta agar Jang Geum memasakkan untuknya. Jang Geum dengan besar hati sudi memenuhinya. Jang Geum ke istana dapur diraja dengan tujuan untuk menyediakan hidangan tersebut. Pada waktu ini, Geum Young datang dan bertanyakan kenapa Jang Geum boleh berada di dapur tersebut.
No comments:
Post a Comment