Tuesday, June 12, 2012

Jewel In The Palace Episod 1


Pembuka cerita drama ini bermula di gelanggang memanah, di mana dua orang pegawai tinggi sedang bertanding, salah satunya ialah Seo Chun Soo. Anak panah yang pada mulanya mengenai sasaran, tiba-tiba patah dan terjatuh. Seo Chun Soo begitu terkejut apabila mendapati tangannya berdarah. Adakah ini membawa satu petanda malang?

Sejurus selepas itu, satu berita buruk telah disampaikan kepada mereka. Maharaja telah mengeluarkan perintah untuk mengenakan hukuman meminum racun ke atas Permaisuri Yiun yang selama ini telah diasingkan selama 3 tahun atas kesalahan yang mengatakan permasuri tersebut berkelakuan kejam dan melakukan banyak perkara yang menjatuhkan maruah pihak istana.

Kesemua pegawai dan tentera ternyata begitu berat hati untuk melaksanakan hukuman. Salah seorang pegawai yang ditugaskan mengiringi menteri semasa dalam perjalanan ke tempat tinggal Permaisuri Yiun sengaja menikam kudanya, menyebabkannya terjatuh hingga mencederakan kakinya; agar terlepas daripada tugasa tersebut. Ini menyebabkan tugas membawa racun hukuman itu terpaksa diambil alih oleh Seo Chun Soo.

Waduh, bahagian ini agak sedih dan ngeri sedikit. Iaitu ketika perlaksanaan hukuman. Permaisuri Yiun yang kesal kerana hukuman itu dirasakan tidak patut, malah permintaannya menemui maharaja dan puteranya ditolak mentah-mentah, telah meminta orang suruhannya menyerahkan kain berlumur darah muntahannya kepada puteranya apabila naik takhta kelak. Dengan harapan, puteranya akan membalas dendam ke atas kematiannya yang tidak diadili dengan sewajarnya.

Seo Chun Soo berasa sangat bersalah dan dihantui kematian Permaisuri Yiun yang berlaku di hadapan matanya. Malam itu, dia cuba menenangkan diri dengan meminum arak di sebuah kedai.  ketika dalam perjalanan balik ke rumah melalui hutan tebal, suara tangisan dan jeritan permaisuri bersama orang suruhannya bersilih ganti mengganggu mindanya. Dia yang trauma berlari tanpa punca. Sedar-sedar sahaja, dia sudah berada di dalam sebuah gua yang dihuni oleh seorang lelaki misteri.


Di luar dugaan, lelaki misteri tersebut mengatakan hidup Seo Chun Soo sangat menyedihkan, dan hidupnya terletak di tangan 3 orang wanita. Wanita pertama adalah wanita yang dibunuhnya, namun tidak mati. Okey, sejujurnya aku pun tidak faham maksud ‘tidak mati’ di sini. Mungkin ia membawa maksud meskipun sudah mati, ia sentiasa ‘hidup’ dalam fikiran Seo Chun Soo. Pendek kata ‘menghantui’nya. Wanita kedua adalah wanita yang diselamatkannya, namun akan mati disebabkannya. Manakala wanita yang ketiga adalah wanita yang membunuhnya, namun bakal menyelamatkan banyak nyawa pada masa akan datang.

Lelaki misteri tersebut turut mengatakan bahawa wanita pertama sudah ditemui Seo Chun Soo. Untuk mengelakkan bertemu dengan wanita ketiga yang menjadi penyebab kematiannya, dia hanya perlu mengelakkan diri daripada bertemu dengan wanita yang kedua. Keliru dengan kata-kata lelaki misteri itu, Seo Chun Soo merayu untuk meminta penjelasan dan petunjuk. Lantas lelaki misteri itu memberikan 3 helai kertas bertulis 3 perkataan sebagai klu, sebelum menghilangkan diri.
Seo Chun Soo membawa 3 helai kertas tersebut berjumpa dengan seorang sami untuk ditafsirkan. Sami tersebut telah memecahkan setiap perkataan kepada dua.

Perkataan pertama mengandungi perkataan ‘perempuan’ dan ‘hari ini’. Membawa maksud perempuan yang ditemui Seo Chun Soo pada hari ini. Oleh kerana kertas itu diperolehinya semalam, maka ia berkaitan dengan wanita yang ditemuinya semalam iaitu tidak lain, Permaisuri Yiun. Wanita yang dibunuhnya (melalui perlaksanaan hukuman) namun tidak mati. Yakni masih sangat menghantuinya.

Perkataan kedua mengandungi perkataan ‘Sungai’ dan ‘Kepala’. Manakala perkataan yang ketiga mengandungi perkataan ‘perempuan’ dan ‘anak’. Dan ini tentu menjadi misteri yang hanya terungkai selepas menemui wanita yang dimaksudkan.

14 tahun kemudian, Seo Chung Soo  masih dihantui peristiwa tersebut. Malah dia mengambil keputusan untuk tidak berkahwin atau mengadakan apa-apa hubungan dengan mana-mana perempuan. Pada masa itu, putera kepada Permaisuri Yiun telah menaiki takhta dan berperangai agak buruk dan kejam. Ini menimbulkan kebimbangan di kalangan pegawai, risau kalau-kalau cerita kematian bondanya sampai  ke telinganya.

Pada masa yang sama, istana dalam persiapan sambutan hari jadi Ratu. (Di dalam istana, Ratu berperanan penting sebagai penasihat kepada Maharaja dan Permaisuri). Ming Yi, seorang junior wanita dapur istana sedang sibuk menyiapkan santapan di dapur istana bersama wanita-wanita dapur istana yang lain. Pada masa ini, dia telah terlihat kawannya, Choi Sung Geum memasukkan herba beracun ke dalam hidangan yang bakal diberi kepada Ratu.

Dia mengambil keputusan untuk melaporkan perkara tersebut kepada salah seorang ketua dapur istana. Dalam diam-diam, dia turut memaklumkan perkara tersebut kepada sahabat baiknya, Han Baek Yong. Tanpa disangka, rupa-rupanya kejadian memasukkan herba beracun itu merupakan satu pakatan yang turut melibatkan ketua tersebut serta beberapa individu yang lain. Bagi ‘menutup kes’, Ming Yi telah difitnah melakukan perkara sumbang oleh kawannya sendiri, Choi Sung Geum. Dia dipaksa meminum racun sebagai hukuman.

Bagaimanapun, Han Baek Yong sempat memasukkan penawar ke dalam racun yang diminum Ming Yi, serta menyelitkan sepucuk surat ke dalam pakaiannya, sebelum tubuhnya ditinggalkan di dalam hutan. Ming Yi yang sedar kemudiannya,dengan sepenuh kudrat bergerak menuju ke sungai berhampiran sebelum ditemui oleh Seo Chung Soo.


Seo Chung Soo telah membawa Ming Yi ke kediaman seorang sami. Di sana dia menjaga dan merawat Ming Yi sehingga terlepas dari keadaan yang kritikal. Pada masa inilah Seo Chung Soo menyedari bahawa dia telah menemui wanita yang kedua, kerana Min Yi yang ditemuinya di ‘sungai’ dan telah diselamatkannya; sangat bertepatan dengan perkataan kedua yang diberi oleh lelaki misteri 14 tahun dahulu.




Ming Yi akhirnya semakin stabil. Dia menemui surat yang diselitkan oleh Han Baek Yong di pakaiannya. Barulah dia mengetahui kisah sebenar, dan ini mengundang rasa sedih yang teramat sangat. Dia harus meninggalkan tempat tersebut sejauh yang boleh memandangkan identitinya sudah 'mati' di kalangan para wanita dapur istana. Cuma, masalahnya Ming Yi kehilangan arah tuju dan harus memulakan hidup di luar dengan susah sebatang kara.

Seo Chung Soo pada mulanya cuba meninggalkan Ming Yi. Namun kerana kasihan akan keadaannya yang tiada arah tuju, Seo Chung Soo mengekorinya senyap-senyap, malah ‘menolongnya’ secara senyap-senyap.
Sehinggalah suatu ketika, Seo Chung Soo muncul berhadapan ketika melindungi Ming Yi daripada gangguan lelaki-lelaki di sebuah kedai arak. Dia cuba melarikan diri selepas itu, namun Ming Yi pula mengejarnya. Seo Chung Soo akhirnya menjelaskan tentang perkataan kedua yang berkaitan dengan Ming Yi. Wanita yang diselamatkannya, namun akan mati disebabkannya. Seo Chung Soo tidak mahu membahayakan nyawa Ming Yi, namun Ming YI dengan sepenuh hati mahu mengikut Seo Chung Soo dan rela menerima apa sahaja takdir yang mendatang.

Sejak dari hari itu, mereka berdua hidup sebagai suami isteri di sebuah kampung yang terpencil serta merahsiakan identiti mereka yang sebenar. Mereka akhirnya memperolehi seorang anak perempuan yang sangat bijak, Seo Jang Geum...dan dia inilah yang menjadi watak utama episod-episod yang akan datang!

2 comments:

  1. saya juga peminat drama JITP ni. kat mana ye nak dapatkan dvd atau cd drama ni yang ada subtitle malays or english? saya suka kalau drama ni di ceritakan semula oleh Vee sampai habis dan penuh. gaya penceritaan Vee menarik minat saya untuk terus menonton lagi drama ni. memang drama terbaik dan patut ditonton ramai. terimakasih Vee.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih sebab sudi baca =p.. tentang CD/DVD, mungkin sekarang ni dah susah sikit nak cari di pasaran memandangkan drama ni dah dekat 10tahun umurnya. Pernah nampak di kedai CD (speedy) Kajang dulu, itupun tinggal 1 untuk clearance. Cubalah cari di kedai-kedai, mana tahu masih ada dijual. Tengok online pun ada juga. cuba cari di dramacrazy.net.

      Delete