Thursday, June 28, 2012

Jewel In The Palace Episod 19


Duta kerajaan Ming sebaliknya meminta maaf kepada Jang Geum kerana makan agak banyak akan hidangan mewah yang disediakan oleh Puan Choi, membuatkan mereka semua agak hairan. Duta menjelaskan hidangan Puan Choi sedap, namun selepas 5 hari mengikuti program diet sihat yang dicadangkan oleh Jang Geum, dia dapat merasakan perubahan yang ketara pada kesihatannya.

Duta tersebut bertanya kenapa Jang Geum berani merisikokan nyawanya sendiri dalam bertegas menghidangkannya makanan yang sihat sedangkan dia tidak perlu berbuat demikian memandangkan dia hanya berada di sana untuk beberapa hari. Jang Geum menyatakan dia hanya menurut prinsip yang diajar oleh Puan Han iaitu tidak akan menghidangkan makanan yang membahayakan pemakannya. Duta tersebut kagum dan menyatakan, jika seorang guru dan anak muridnya begitu tetap pada pendirian, dia sebagai orang yang memakan hidangan itu patutu turut sama menyokong pendirian mereka. Malah, dia meminta sepanjang berada di situ, dia mahu Jang Geum dan Puan Han menyediakan makanan untuknya. Dia juga memuji masakan Jang Geum yang unik rasanya, sudah tentulah resipi yang dipelajari jang Geum semasa di tokong tempoh hari.

Puan Han dibebaskan. Jang Geum mendapatkannya dengan gembira dan menyatakan bahawa prinsip Puan Han memang betul. Puan Han sebenarnya sangat risau akan kedegilan dan keberanian Jang Geum yang boleh mengancam nyawa mereka. Jang Geum bergurau mengatakan Puan Han tidak ubah seperti Puan Jung apabila berkata demikian. Gurauan Jang Geum mengingatkannya kepada Puan Jung. Sida Sang San yang kebetulan ada bersama, segera dikhabarkan tentang Puan Jung yang sebenarnya tidak menghidap wabak seperti orang lain. sida Sang San menyatakan jika demikian, pasti Puan Jung akan kembali istana tidak lama lagi.

Puan Choi pasti tidak menyenangi pujian yang diberi kepada Jang Geum dan Puan Han, malah dia masih menganggap semua itu atas hasil tindakan bijaknya menghantar Puan Han ke rumah penginapan diraja. Ketika Wanita Tertinggi Park bertanyakan masalah di rumah penginapan, Puan Choi cuma mengatakan semuanya telah dia uruskan, tanpa menceritakan kejadian sebenar. Mereka berdua mengadap Ratu dan sudah tentu ratu memuji mereka apabila mengetahui masalah duta kerajaan Ming itu sudah diselesaikan. Ketika itu, Wanita Tertinggi Park berkira-kira mahu mengajukan cadangan untuk melantik Puan Choi sebagai wanita pertama yang kekal, namun kehadiran Maharani Mun Jeong membantutkan niatnya.

Maharani Mun Jeong ini merupakan satu watak penting dalam hidup Jang Geum kelak. Maharani mengadap Ratu untuk mengucapkan terima kasih kerana banyak membantu dalam mengatasi kesedihannya atas kehilangan pengasuh yang sangat disayanginya. Selepas itu ratu memaklumkan tentang kebijaksanaan Puan Choi menangani kes di rumah penginapan diraja.

Sementara itu, Puan Jung didiagnosis seorang doktor yang dibawakan oleh Duk Goo. Doktor tersebut mengesahkan bahawa Puan Jung bebas daripada wabak, dan tidak sepatutnya diletakkan bersama-sama pesakit yang lain. namun kesihatannya semakin merosot, malah sukar untuk bangun sendiri.

Seorang pengawal mencari jang Geum atas arahan maharani. Rupa-rupanya maharani ingin berjumpa Jang Geum kerana dia menjaga sepanjang hayat terakhir pengasuhnya. Maharani ingin mendengar sendiri cerita akan keadaan pengasuhnya daripada Jang Geum. Sida Sang San yang ada mengiringi Jang Geum, menyatakan Maharani tidak perlu risau. Sida Sang San menceritakan hal yang berlaku di rumah penginapan yang begitu mengambil berat kesihatan duta kerajaan Ming. Sudah tentu Jang Geum juga telah menjaga pengasuh maharani dengan baik. Mendengar akan cerita itu, maharani pasti teringatkan akan pujian Ratu kepada kebijaksanaan Puan Choi.

Puan Jung rasa sangsi terhadap ubat yang diberikan kepadanya, memandangkan kesihatannya semakin merosot. Puan Min yang dikuarantin bersama-samanya, diarahkannya membawa ubat tersebut untuk diperiksa oleh doktor di luar. Puan Min sangat marah apabila mendapati ubat tersebut sebenarnya racun yang membuatkan tubuh Puan Jung lemah dan memburukkan lagi kerosakan buah pinggangnya. Puan Jung segera menghantar surat kepada Wanita Tertinggi Park dan memintanya untuk berjumpa. Dalam perjumpaan itu, Puan Jung meminta agar Wanita Tertinggi Park membenarkannya kembali ke istana. Wanita tertinggi Park tidak bersetuju dan mengatakan kesihatan Puan Jung semakin buruk. Pada ketika inilah Puan Jung mengancam akan mendedahkan hal journal warisan yang tidak diturunkan kepadanya. Puan Jung juga berikrar akan mendedahkan kesemua penyalahgunaan kuasa yang telah dilakukan oleh Wanita Tertinggi Park serta rasuah yang diterimanya daripada keluarga Choi. Malah, ubat beracun yang sengaja diberikan kepadanya dalam usaha memburukkan kesihatannya agar tiada peluang kembali ke istana.

Sekembali ke istana, Ratu memanggil Wanita Tertinggi Park dan Puan Choi dan memarahi mereka berdua apabila mengetahui cerita sebenar kes di rumah penginapan diraja. Rupanya maharani telah mengkhabarkan hal sebenar. Ratu sangat marah kepada Puan Choi yang mengambil kredit atas usaha orang lain malah telah menghidangkan menu makanan mewah diraja yang membahayakan kesihatan duta tersebut.

Wanita Tertinggi Park sangat marah akan tindakan Puan Choi kerana tidak memberitahu hal sebenar kepadanya. Mereka kini berada di tahap yang agak buruk, sudah tentu hal untuk meneruskan usaha menaikkan Puan Choi sebagai wanita pertamamenerusi taktik kotor itu agak sukar.

Puan Han akhirnya dipanggil kembali ke dapur istana setelah duta kerajaan Ming berangkat pergi. Pada masa yang sama, Puan Jung turut dibenarkan kembali. Ratu telah mengadakan perjumpaan tergempar. Ratu memaklumkan bahawa sebelum ini selepas pusingan pertama dia telah tersalah anggap dengan menyangka Puan Choi jauh lebih baik daripada Puan Han. Namun insiden di rumah penginapan telah membuka matanya untuk menilai kebolehan yang ada pada Puan Han yang beridiri teguh pada prinsip malah berjaya meyakinkan seorang duta yang sangat cerewet untuk mengambil makanan yang sihat. Ciri-ciri seperti ini penting dalam menyediakan makanan yang selamat untuk maharaja. Maka, ratu telah memutuskan bahawa insiden di rumah penginapan itu sebagai pusingan kedua pertandingan dalam memilih calon terbaik sebagai wanita pertama. Maka, ia telah dimenangi oleh Puan Han.

Hihi... Puan Choi sudah tentu rasa di ‘smackdown’ ketika itu. Dan title ‘pemangku’ wanita pertama, secara automatik tidak berguna lagi dengan kembalinya Puan Jung.

Duk Goo sedang dipaksa isterinya untuk menghantar arak ke rumah Min Jung Ho walaupun hari sudah menjengah malam. Min Jung Ho yang sedang sibuk berbincang dan menyiasat akan kes yang berkaitan dengan Choi Pan Sool teringat akan tawaran Duk Goo tentang pelayan wanita di rumah pelacuran beberapa hari yang lepas. Dengan bantuan Duk Goo, Min Jung Ho ke rumah pelacuran tersebut dan mendapati tempat tersebut tempat berfoya-foya Choi Pan Sool serta beberapa orang pegawai istana. Ia merupakan tempat yang sempurna untuk Min Jung Ho melakukan kerja risikan dan meminta bantun salah seorang pelayan yang baik dnegan Duk Goo.

Puan Jung memanggil Puan han, Puan Choi , Janggeum dan Geum Young bagi menunjukkan journal warisan wanita pertama. Puan Jung berbuat demikian agar pertandingan berjalan adil di antara mereka. Puan Jung menyatakan journal itu sudah dilihat isi kandungannya oleh Puan Choi dan Geum Young. Namun, Puan Han menolak untuk melihat isi kandungannya, dan hanya melihatnya jika berjaya menjadi wanita pertama kelak. Jang Geum tahu, inilah journal yang pernah disebut oleh ibunya. Jang Geum akhirnya nampak buat pertama kalinya journal yang selama ini dijadikan misi untuk menjadi wanita istana, meskipun hanya dari jauh dan berada di tangan Puan Jung.

Ratu mengeluarkan soalan pusingan  pertandingan yang seterusnya, juga merupakan pusingan yang terakhir. Sempena majlis harijadinya yang akan datang, Ratu memberi peluang kepada mereka untuk memasak apa-apa juga hidangan yang terbaik. Maka, pusingan pertandingan ini bukan sahaja berkenaan untuk menang, namun juga untuk menyediakan makanan yang cukup sempena sambutan harijadi.

Puan Han ternyata agak gementar untuk pertandingan itu. Jang Geum dapat melihat tangan Puan han yang menggigil kerana terlalu gementar. Jang Geum mengusik Puan Han meskipun Puan Han menggigil, namun hatinya pasti tidak begitu, malah kelihatan sangat ‘comel’. Puan Han menceritakan bahawa waktu kecil dahulu, dia hidup dalam keluarga yang sangat susah, ibunya bekerja sebagai pelayan di rumah pelacuran. Suatu hari, ibunya hampir-hampir dirogol, namun diselamatkan oleh seorang budak perempuan yang sebayanya. Puan Han mengekori budak berkenaan balik ke rumah dan mendapati dia dari kalangan berstatus lebih tinggi namun makan hidangan yang agak teruk. Puan Han memasakkan makanan untuk budak berkenaan, dan itulah pertama kali dia mendapat pujian bahawa masakannya sedap. Mereka berdua akhirnya berjumpa dengan wanita istana yang melatih kanak-kanak yang ingin menjadi wanita istana di dapur istana. Sudah tentu Jang Geum tidak sedar cerita ini sebenarnya berkenaan ibunya sendiri.

Puan Han pergi ke bawah sebuah pokok di taman belakang, dia mengorek sesuatu di dalam tanah yang tertanamnya sebuah bekas cuka pisang kaki. Ia adalah cuka yang ditanamnya bersama-sama Myung Yi suatu masa dahulu, dan mereka berjanji sesiapa di antara mereka berjaya menjadi wanita pertama, akan mendapat cuka tersebut sebagai hadiah. Puan Han mengambil sedikit cuka tersebut untuk digunakan semasa pertandingan. Ketika itu dia bagai terdengar suara Myung Yi mencadangkan agar menyediakan sup Ba Gua (sup kura-kura) semasa hari pertandingan.

Jang Geum pada masa yang sama sedang membaca diari kecil milik ibunya. Ia tentang hal ibunya dan sahabat ibunya menanam bekas cuka pisang kaki. Jang Geum tersentak, dan terfikir untuk mencari cuka berkenaan lalu berlari menuju ke lokasi sebagaimana diceritakan di dalam diari itu. Lokasi di mana Puan Han sedang berada.

No comments:

Post a Comment