Jang Geum menggunakan
jalan singkat untuk menyedapkan rasa sup yang dimasaknya iaitu dengan
menggunakan susu (ikut subtitle dalam tv) / tulang unta (subtitle dalam drama
online)..mana-manalah, yang penting bahan ni mahal dan tidak mampu dibeli orang
miskin.
Puan Han yang marah
dengan tindakan jang Geum, mengambil keputusan untuk menghantar Jang Geum ke
luar istana untuk menjaga pengasuh maharani yang sedang sakit. Jang Geum
memohon ampun berkali-kali, namun tidak diendahkan Puan Han. Dia berkata kepada
jang Geum, selama ini dia mendapati Jang Geum begitu berbakat. Namun, sekarang
bakatnya sudah mula menjadi racun dalam diri.
Puan Jung yang mengetahui
tindakan Puan han, cuba menasihati agar tidak terlalu tegas terhadap Jang Geum.
Namun, Puan Han menyatakan di dalam realiti kehidupan istana, ada banyak dugaan
dan godaan. Pada Puan Han, pertandingan itu bukan sesuatu yang penting, namun
telah merosakkan hati Jang Geum yang hanya pentingkan kemenangan. Dalam waktu sesingkat itu, Jang Geum
membelakangkan prinsip memasak yang harus disertai keikhlasan dan kesungguhan.
Jang Geum berangkat ke tokong
tempat tinggal pengasuh maharani yang sakit dengan hati yang begitu berat. Dia
singgah di rumah keluarga angkatnya, lalu bertanya kepada ibu angkatnya apakah
kesalahannya begitu besar? Ternyata Jang Geum masih belum menyedari akan
kesilapannya.
Sementara itu, wanita
istana Young Ro, Chang dan Yeon Saeng terfikir untuk menggantikan tempat jang
Geum sebagai pembantu Puan Han dalam pertandingan untuk pusingan akan datang.
Mereka beranggapan, Jang Geum dipilih oleh Puan Han sebelum ini memandangkan
mereka rapat dan Puan Han menyayangi jang Geum lebih daripada wanita istana
yang lain.
Young Ro mencuba nasib,
dan Puan Han bersetuju hanya jika dia bertahan dengan kaedah latihan yang sama
diberinya kepada jang Geum. Young Ro disuruhnya mengambilkan air berkali-kali
sebagaimana ujian pertama yang dilalui Jang Geum suatu ketika dahulu. Manakala
Chang disuruh Puan Han mencari 100 jenis herba dan sayuran. Yeon Saeng pula
disuruh mencipta rasa dengan menggunakan 3 jenis hidangan laut dengan
menggunakan 3 jenis sos. Berserta bahan-bahan lain yang bersesuaian.
Ketiga-tiga mereka
ternyata tidak tahan dengan cara Puan Han dan beranggapan mereka sengaja diuji
begitu kerana Puan han memang tidak berniat mengambil mereka sebagai pembantu.
Namun, Geum Young yang mengetahui hal itu, menerangkan bahawa Jang Geum telah
membuat semua yang mereka buat tersebut; mengambil air berkali-kali, mencari
100 jenis herba dan sayuran serta mencipta rasa makanan. Pada masa inilah Puan
Han muncul dan meminta laporan perkembangan latihan yang telah diberinya. Namun
ketiga-tiga mereka menarik diri. Puan Han menjelaskan, Jang Geum dipilihnya
menjadi pembantu kerana dia orang yang paling faham dengan caranya serta
bertahan dengan tugasan-tugasan yang berat. Yeon Saeng bertanya, kenapa Puan
Han menghantar Jang Geum ke luar istana jika begitu? Namun, Puan Han hanya
berlalu tanpa menjawab.
Jang Geum tiba di
kediaman pengasuh maharani dengan perasaan bungkam. Duk Goo yang terlebih
dahulu tiba di sana, begitu gembira dengan kehadiran Jang Geum, sekurang-kurangnya
dia ada kawan. Jang Geum pula ternyata masih begitu sedih dan membawa diri ke
tepi tasik untuk melayan perasaan. Min Jung Ho yang baru balik dari melakukan
penyiasatan ternampak Jang Geum dan berniat untuk menyapanya, namun tidak jadi kerana
melihat Jang Geum yang begitu sedih.
Duk Goo mengajak Jang
Geum ke suatu tempat bagi menghibur hatinya. Jang Geum begitu teruja apabila
Duk Goo membawanya ke tepi pantai. Ketika sedang bermain-main dengan air laut
yang pertama kali dilihatnya, Min Jung Ho muncul. Sepanjang petang itu, mereka
berdua menghabiskan masa bergurau-senda di tepian pantai.
Pada malam hari, mereka
bertiga membakar ketam di tepi pantai. Duk Goo bagaimanapun tidur terlebih
dahulu akibat terlalu banyak minum arak. Pada masa ini, Min Jung Ho bercerita,
hingga menyentuh soal ibubapa Jang Geum. Buat pertama kali setelah sekian lama,
Jang Geum memberitahu seseorang akan ayahnya yang pernah bertugas sebagai
pegawai tentera di unit yang sama seperti Min Jung Ho sekarang. Jang Geum
menyatakan, jika bukan kerana dirinya, tentu ibu dan ayahnya masih ada. Jang
Geum turut menangis di depan Min Jung Ho ketika menceritakan kisah tersebut.
Puan Choi semakin yakin
bahawa dia bakal menjadi Wanita Pertama dan tidak henti-henti melobi Wanita Tertinggi
Park. Mereka juga amat berkeyakinan Ratu bakal memihak mereka memandangkan Ratu
mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Wanita Tertinggi Park.
Geum Young meminta
kebenaran daripada Puan Choi untuk keluar dengan alasan mecari ilham agar
mendapat idea terbaik bagi pusingan pertandingan yang seterusnya. Sebenarnya
Geum Young berniat untuk mencari Min Jung Ho selepas mendapatinya tiada di
pejabat istana dan dimaklumkan bahawa dia telah bertugas di kawasan tokong.
Doktor yang merawat
pengasuh maharani meminta jang Geum ke pekan bagi mendapatkan bekalan ubat. Min
Jung Ho yang kebetulan hendak ke pekan, menawarkan diri untuk menemani Jang
Geum. Min Jung Ho sebenarnya berjumpa dengan pasukan penyiasatannya, dan
mendapati kes yang mereka siasat berkaitan dengan perniagaan Choi Pan Sool.
Selepas 2 jam, Min Jung Ho dan Jang Geum kembali semula ke tokong. Dalam
perjalanan, mereka diserang sekumpulan samseng yang dihantar Choi Pan Sool bagi
menangkap Min Jung Ho yang dianggap mengganggu perniagaannya melalui siasatan
itu.
Mereka berdua melarikan
diri sehingga kembali ke tokong dan meminta bantuan penjaga tokong agar
disembunyikan. Selepas samseng upahan yang memburu mereka meninggalkan kawasan
tokong, penjaga tokong berkenaan mempelawa mereka berdua makan malam bersama.
Pada masa ini, Jang Geum mendapati ramuan masakan lauk daripada penjaga tokong
berkenaan mempunyai rasa istimewa dan mula bertanya resipi rahsianya. Penjaga
tokong berkenaan menyatakan tiada sebarang resipi rahsia, namun Jang Geum tidak
berpuas hati dan mula mengikut penjaga tokong itu sepanjang hari dan tidak
henti-henti bertanya sambil mencatat nota.
Pengasuh maharani semakin
tenat. Beliau enggan makan sebarang makanan kecuali sejenis beras yang kering
dan rangup seperti yang pernah diberi oleh mendiang abangnya semasa kecil
dahulu. Jang Geum teringat akan beras yang dijemur oleh penjaga tokong. Jang
Geum mengambil sedikit daripada beras berkenaan walaupun dihalang oleh penjaga
tokong yang menyatakan ia memerlukan masa 4 hari untuk dijemur di bawah sinaran
matahari. Jang Geum sebaliknya memikirkan cara yang lebih pantas, iaitu
membakar menggunakan haba api.
Setelah beras siap
dibakar, Jang Geum menyerahkannya kepada pengasuh maharani tersebut. Walaupun
ia menepati ciri-ciri yang disebutnya, ternyata ia masih tidak menyamai rasa
beras yang diimpikannya. Selepas beberapa hari, beras yang dijemur penjaga
tokong akhirnya sempurna. Penjaga tokong memberikan beras berkenaan kepada
pengasuh maharani, dan kali ini ia benar-benar menyamai beras yang dimaksudkan.
Pada ketika ini, Jang
Geum akhirnya memahami satu pengajaran. Dalam memenuhi permintaan pengasuh
maharani, Jang Geum hanya memikirkan jalan singkat, namun sebenarnya apa yang
perlu dilakukan adalah kesabaran dan usaha yang disertai keikhlasan sehingga
mendapat hasilnya. Ia tidak ubah seperti kejadian memasak sup tulang lembu tempoh
hari. Jang Geum hanya mengambil jalan singkat dan terlupa kepada prinsip asas
memasak. Perkara tersebut dliuahkannya kepada Min Jung Ho.
Wajah Jang Geum menyedari akan kesilapan besarnya dalam prinsip memasak
Semasa sedang meluahkan perasaannya itu, Geum Young tiba di pintu gerbang tokong. Dia bagai tidak percaya melihat kemesraan Jang Geum dan Min Jung Ho. Nampaknya, Jang Geum kini dilihatnya bukan hanya sebagai pesaing di dapur, namun juga dalam memenangi hati jejaka walaupun sebenarnya sebagai wanita istana mereka tidak mungkin boleh ada hubungan hati dengan mana-mana lelaki.
1) Entri sebelum: Jewel In The Palace Episod 15
2) Entri selepas: Jewel InThe Palace Episod 17
3) Ke Halaman senarai episod
3) Ke Halaman senarai episod
No comments:
Post a Comment