Friday, June 22, 2012

Jewel In The Palace Episod 11


Puan Jung mengambil keputusan untuk membawa mereka berdua ke unit siasatan, namun dihalang oleh Wanita Tertinggi Park, atas alasan perkara itu akan membuatkan maharaja risau dan bahagian dapur istana akan terkena tempiasnya. Sudah tentu Puan Choi yang risau akan cerita sebenar terbongkar yang mengadukan hal itu kepada Wanita Tertinggi Park, yang juga merupakan sekutu keluarganya. Puan Jung berkeras, namun Wanita Tertinggi Park berang bila ditentang begitu. Akhirnya, Puan Jung melambatkan masa sehari lagi untuk membawa kes itu ke unit siasatan.

Puan Jung curiga dengan wanita Tertinggi Park yang beria-ia menghalangnya. Pada masa yang sama, kesemua orang dalam yang berkaitan dengan keluarga Choi mengatur strategi dengan mencipta saksi-saksi palsu bagi menganiayai Jang Geum. 

Puan Han yang risau akan keselamatan Jang Geum, merayu agar Jang Geum menceritakan hal yang sebenar. Namun, Jang Geum enggan. Dia menyatakan, kerana dia tidak mematuhi kata-kata ibubapanyalah, dia telah kehilangan mereka berdua. Situasi sekarang, dia cuma mahu menuruti arahan ibunya. Diari milik ibunya itu tidak boleh didedahkan. Suatu masa nanti, dia pasti akan memberitahu semuanya kepada Puan Han, tetapi bukan sekarang.


Puan Han cuba mencari apa sahaja yang dicari oleh Jang Geum di dapur khas tersebut yang dikatakan berupa sebuah buku kecil oleh Yeon Saeng. Namun, tidak ditemuinya. Puan Han bertemu dengan Puan Jung dan merayu agar kes itu digugurkan. Namun Puan Jung yang berpegang kepada prinsip untuk menegakkan keadilan, enggan dan bertekad tetap mengemukakan kes itu ke pihak sepatutnya. Puan Jung sebenarnya risau dengan tempoh sehari yang dilambatkan, kerana dia tahu berbagai perkara boleh berlaku. Tindak-tanduk dan kata-kata Puan Choi sebelum ini sememangnya jelas menunjukkan ada perkara yang tidak kena.

Puan Han yang tidak mahu melalui pengalaman ngeri Ming Yi berulang kepada Jang Geum, menerangkan kepada Puan Jung akan nyawa Jang Geum yang jadi taruhan. Selama ini hatinya jadi keras sejak peristiwa pahit Ming Yi, namun Jang Geum lah yang berjaya membuka hatinya untuk berhadapan semula dengan dunia. Walaupun dia memahami prinsip Puan Jung, dia tidak mahu Jang Geum menjadi korban.

Pada pagi esoknya, Puan Jung menyedari Wanita Tertinggi Park begitu yakin, sudah tentu ada muslihat yang sudah dirancang. Dia juga terkenang akan rayuan Puan Han. Setelah berfikir panjang, dia akhirnya membelakangkan prinsipnya demi nyawa Jang Geum. Kes itu digugurkan, dan tiada tindakan lanjut diambil.

Puan Han benar-benar lega. Mengenangkan kedegilan Jang Geum yang enggan menceritakan hal sebenar,Puan han semakin suka kepada Jang Geum. Dia pasti Jang Geum tidak akan mudah dipengaruhi oleh kejahatan dan teguh pada pendiriannya. Sebenarnya episod ini menunjukkan betapa dalamnya kasih Puan Han terhadap Jang Geum. Selama ini dia kelihatan begitu ‘dingin’ dan seperti tidak berperasaan. Namun insiden ini mendedahkan betapa kuat ikatan antara mereka berdua.

Duk Goo, seperti biasa ada-ada saja barang yang dijualnya kepada kakitangan istimewa, kali ini ubat kuat tenaga batin. Sida Sang San dan ‘geng’nya yang menahan Duk Goo, pada mulanya lebih kepada bentuk gertakan, hingga membuat Duk Goo mengaku ubat yang dijualnya adalah tipu semata-mata. Tiba-tiba, pengawal datang menahannya atas tuduhan meletakkan racun di dalam sup itik yang dimasaknya untuk putera raja. Putera raja yang kurang sihat, tiba-tiba pengsan dan kebas tubuhnya selepas memakan sup yang dimasak Duk Goo.

Setelah didiagnosis doktor, putera  raja berkeadaan demikian memang disebabkan keracunan.  Jang Geum yang risau akan keselamatan bapa angkatnya, mula menyiasat punca keracunan tersebut. Wanita-wanita istana seperti Puan Jung dan Puan Han yakin Duk Goo tidak bersalah kerana mereka sudah masak dengan perangai Duk Goo yang tidak mungkin melakukan perkara sedemikian.

Jang Geum berusaha  mencari punca tersebut. Ketika Puan Han mengajarkan tentang bahan masakan, dia terfikir mungkin ada bahan lain yang dimakan putera raja selain daripada sup itik yang dimasak Duk Goo, kerana kombinasi bahan yang berlainan boleh mencetuskan hasil yang berlainan. Dia bertanyakan kepada seorang doktor perempuan yang merawat putera tentang ubat yang diambil putera raja.

Doktor perempuan tersebut memberitahu, selain daripada ubat-ubatan mereka memberinya minyak buah pelaga dengan tujuan membantu putera raja relaks. Bagaimanapun doktor tersebut tidak begitu arif tentang ubat berkenaan kerana ia benda baru yang diimport dari kerajaan Ming, China.

Jang Geum mendapatkan bantuan Min Jung Ho untuk meminjam buku berkenaan ubatan tradisional. Meskipun jang Geum tidak memenuhi temujanji mereka yang lepas, (kerana Jang Geum dikurung), Min Jung Ho tidak ambil hati.

Melalui buku tersebut, Jang Geum mendapati minyak buah pelaga memang baik untuk tujuan menenangkan, namun jika diambil berlebihan boleh menyebabkan rasa kebas. Tapi doktor wanita yang ditanyanya ada menerangkan ubat itu diambil dalam jumlah yang sangat sedikit, memang sepatutnya tidak memudaratkan.

Tiba-tiba Jang Geum teringat akan salah satu bahan yang digunakan untuk memasak sup itik yang diberikan kepada putera raja iaitu ginseng.
1) Entri sebelum: Jewel In The Palace Episod 10
2) Entri selepas: Jewel InThe Palace Episod 12
3) Ke Halaman senarai episod

No comments:

Post a Comment