Thursday, June 21, 2012

Jewel In The Palace Episod 9


Ratu tiba-tiba datang melawat tempat pertandingan bersama beberapa orang ketua wanita istana. Selepas mencuba masakan Geum Young, Ratu terhenti dan begitu tertarik dengan masakan Jang Geum.
Saya suka babak ini!

Ekspresi wajah Ratu yang nampak begitu tertarik dengan pau Jang Geum yang kelihatan unik. Selepas mencubanya, beliau memuji dan mengatakan pasti maharaja menyukai masakan sebegitu. Lantas bertanya Jang Geum memnduduki tempat ke berapa dalam peperiksaan itu? Ratu hairan apabila diberitahu bahawa Jang Geum adalah calon yang tersingkir, disebabkan kecuaiannya menghilangkan tepung. Pada masa ini, Ketua Wanita Istana (ibu kepada tukang jahit yang mencuri tepung Jang Geum) menjelaskan bahawa kehilangan tepung itu semuanya berpunca daripada dirinya dan rela dihukum.

Ratu bertanya dengan lebih lanjut tentang hidangan tersebut kepada Jang Geum. Setelah mendapat tahu khasiatnya serta bersesuaian dengan kesihatan maharaja, ditambah dengan kos yang murah dan mudah diperolehi bahan-bahannya, permasuri berkata:

“Asalkan makanan itu sedap, baik untuk kesihatan dan mudah  untuk diperolehi, apa lagi yang lebih penting daripada itu? Malah dalam keadaan yang sukar akibat kehilangan tepung, dia masih dapat memikirkan idea yang baik begini. Bagaimana kamu boleh terfikir untuk buang dia(Jang Geum) dari istana? Dia akan kekal di istana ini dan beri dia peluang untuk mencipta lebih banyak hidangan yang sihat.”

Tuah menyebelahi Jang Geum! Wanita-wanita istana yang lain mula mengagumi Jang Geum, apatah lagi dia mendapat pujian melambung secara ‘live’ daripada Ratu sendiri. Dan pada Geum Young...

Seolah-olah menjadi ‘juara yang tewas’. Ini kali kedua dia menunjukkan ekpresi wajah begini, pertama kali semasa jamuan bersama Puan Jung dilantik Wanita Istana Pertama dahulu. Dia memang tidak suka ‘kalah’ kepada sesiapa.

Selepas menjalani latihan khas selama 7 hari, pada malam terakhir mereka semua diceritakan sebuah kisah oleh ketua wanita istana yang bakal bersara. Rupa-rupanya dia bukanlah ibu kandung kepada wanita istana tukang jahit (Ah Kang) yang mencuri tepung Jang Geum sebelum ini. Ibu kandung tukang jahit itu telah dibunuh sendiri oleh ketua wanita istana tersebut dalam mematuhi peraturan wanita istana, kerana mengandung. Namun, anak yang dilahirkan dipelihara olehnya seperti anak sendiri, malah wanita-wanita istana yang lain turut membantu. Namun kisah ini tidak pernah diketahui oleh mana-mana perkerja istana yang lain. Maka, melalui cerita ini mereka memahami tentang kehidupan wanita istana sebenar. Pertama, kesetiaan kepada Maharaja, walaupun terpaksa melaksanakan hukuman ke atas kawan sendiri. Kedua, semua kisah rahsia hanya boleh berlegar di kalangan mereka dan tidak boleh diceritakan kepada orang lain.

Ketika suasana dalam mood ‘konvo’ sempena penerimaan skrol wanita istana, Jang Geum menerima pinjaman buku yang pertama daripada Min Jung Ho yang diutuskan melalui seorang pembantu istana.

Manakala permusuhan Yeon Saeng dan Young Ro semakin menjadi-jadi apabila mereka diletakkan dalam bilik yang sama. Yeong Saeng yang rela dihukum rotan 100 kali berbanding duduk sebilik dengan Young Ro akhirnya ditukarkan oleh Puan Jung. Maka, Yeon Saeng sebilik dengan Jang Geum Young Ro bertukar ke bilik Geum Young.

Malam itu, Puan Han menghadiahkan Jang geum sebilah pisau kerana telah sah bergelar wanita istana.

Puan Han memberitahu, pisau itu milik kepada seorang sahabat baiknya yang sangat dia sayangi. Jang Geum bertanya kenapa Puan Han sanggup memberinya pisau yang begitu berharga pada Puan Han. Katanya, sahabat baiknya itu berazam untuk menjadi Wanita Istana Pertama dengan kebolehan dan bakat memasaknya sendiri,. Sifatnya juga tidak ubah seperti jang geum yang sentiasa ingin mempelajari sesuatu serta begitu mementingkan persahabatan. Jang Geum begitu terharu, namun tidak tahu sebenarnya sahabat baik Puan Han tersebut adalah mendiang ibunya sendiri, Ming Yi.


Keesokan harinya, kesemua mereka diberi peluang balik ke rumah keluarga masing-masing selama sehari sebelum menjalankan tugas rasmi mereka sebagai wanita istana dapur yang berkelayakan. Jang Geum balik ke rumah keluarga angkatnya. Oleh kerana gelaran wanita istana itu tidak ubah seperti ‘berkahwin’ dengan ‘istana’, malam itu ibu angkatnya, Na Joo Daek tidur dengan Jang Geum dan menyampaikan banyak pesanan, walaupun dari awal-awal dahulu dia memang tidak setuju Jang Geum menjadi wanita istana.

Sebelum balik ke istana, Jang Geum singgah di pusara ibunya. Menunjukkan dirinya yang telah bergelar wanita istana secara rasmi. Sudah tentu Jang Geum tidak akan melupakan pesan ibunya untuk berusaha menjadi Wanita Istana Pertama. Juga tentang diari kecil milik ibunya yang terletak di satu sudut dalam dapur khas diraja.

Min Jung Ho akhirnya berjaya memberkas kesemua perisik yang diburu, yang terakhir ialah wanita yang telah menyebabkan kecederaan di dada kanan tempoh hari. Ketika menyoal siasat,untuk mendapat maklumat tentang peta yang mempunyai tanda-tanda rahsia, wanita perisik itu langsung tidak mahu menjelaskan. Malah wanita itu meluahkan kekesalan kerana membiarkan ‘seorang wanita bersama burung kuang emas’ merawat Min Jung Ho. Pada masa itu balingan pisaunya sangat tepat dan yakin bahawa doktor terbaik pun tidak mungkin dapat menyelamatkannya. Dia tidak menyangka sama sekali wanita tersebut (Jang Geum), berjaya menyelamatkan Min Jung Ho.  Min Jung Ho memaksa wanita perisik itu berkata lebih lagi, namun tidak diendahkan.

Dengan maklumat itu, Min Jung Ho mencari klu di sebuah kedai menjual ternakan, dan mendapat tahu memang ada seorang wanita datang bersama Duk Goo mencari burung kuang emas kira-kira 6 bulan lepas. Min Jung Ho cuba bertanya pula kepada Duk Goo, namun dinafikan oleh isteri Duk Goo kerana bimbang keselamatan Jang Geum, memandangkan ia melibatkan kes burung kuang emas yang patut dirahsiakan kehilangannya.

Wanita istana di dapur diraja perlu ke luar bagi menyediakan makanan untuk maharaja yang keluar memburu bersama-sama menteri dan pegawai yang lain. Kumpulan penyediaan hidangan untuk maharaja dan pembesar, diketuai oleh Puan Han. Malangnya, Puan Min dan pembantunya, Diao Fang telah cuai meletakkan bahagian dalaman hidangan makanan laut yang beracun ke dalam sup. Racun ini menyebabkan mereka berdua jatuh pengsan. Puan Han yang turut terminum sedikit sup tersebut, dalam keadaan sangat lemah, lalu memberi tanggungjawab memasak tersebut kepada Geum Young dan dibantu oleh Jang Geum.

Namun, tiba-tiba di saat akhir, maharaja meminta agar dihidangkan menu ‘mi sejuk’. Geum Young dan Jang Geum panik kerana tidak pernah memasak hidangan berkenaan. Sup yang ada juga tidak cukup rasa kerana kekurangan bahan. Jang geum mendapat idea untuk mengambil air bukit sebagai penambah rasa kepada sup berkenaan, namun ia mengambil masa yang sedikit lama.

Geum Young yang tinggal seorang mengendalikan dapur begitu tertekan, memandngkan dia masih baru. Ditambah pula kekurangan tenaga kerja. Jang Geum pula, terjatuh semasa dalam perjalanan balik dan menyebabkan pergelangan kakinya terseliuh.

Dalam waktu yang sempit, Jang Geum balik tepat pada watu dan mereka berdua akhirnya berjaya menyiapkan hidangan.

1) Entri sebelum: Jewel In The Palace Episod 8
2) Entri selepas: Jewel InThe Palace Episod 10
3) Ke Halaman senarai episod

No comments:

Post a Comment