Jang
Geum menyatakan perubahan rasa sos disebabkan oleh debunga pokok yang jatuh ke
atas bekas sos yang diletakkan di bawahnya. Kesemua bekas sos di istana
diletakkan di bawah pokok, namun baru-baru ini ia telah dicantas. Hanya satu
tempat di kawasan istana yang tidak dicantas pokoknya, dan sos di kawasan
berkenaan berkeadaan baik.
Puan Han
dan Jang Geum segera menyiapkan hidangan untuk maharaja dalam menyampaikan hal
tersebut. Puan Han memberi sepenuhnya tugas menyediakan hidangan sup kepada
Jang Geum walaupun tahu jang Geum tidak mampu merasa makanan. Puan Choi dan
Geum Young rasa kecewa kerana tewas dalam tugasan tersebut.
Jang
Geum meminta kebenaran daripada Puan Han untuk bertemu dengan Doktor Jung yang
dikenalinya semasa bertugas di ladang istana tempoh hari dalam usaha
menyembuhkan sakitnya. Jang Geum mendapati Doktor Jung sedang membuat ujian ke
atas keberkesanan sengatan lebah dalam rawatan akupuntur. Doktor Jung
menemuinya melalui seorang tentera (ladang berkenaan bersebelahan dengan kem
latihan tentera) yang disengat lebah. Ajaibnya, kebetulan sengatan itu telah
menyembuhkan kecederaan lama serta sengal-sengal dan sakit badan tentera
tersebut. Jang Geum tertarik dan meminta Doktor Jung menguji sengatan lebah ke
atasnya dalam usaha memulihkan deria rasa.
Tiba-tiba,
mereka didatangi sekumpulan tentera yang diketuai oleh Min Jung Ho. Min Jung Ho
memarahi Doktor Jung kerana ramai anggota tenteranya sengaja mendedahkan diri
untuk disengat. Setelah diterangkan, Min Jung Ho memohon maaf atas kekasarannya.
Pada masa itu, dia terdengar perbualan Doktor Jung dan Jang Geum, maka dia
mengetahui masalah deria rasa Jang Geum. Doktor Jung bagaimanapun tidak mahu
merisikokan nyawa Jang Geum untuk dijadikan bahan ujian.
Dalam
perjalanan balik, Min Jung Ho memberikan kata-kata semangat buat jang Geum.
Malah, setibanya di istana, Min Jung Ho meminjamkan lebih banyak buku perubatan
untuk bacaan Jang Geum. Ketika Jang Geum membaca salah sebuah buku, dia
mendapati sehelai kertas telah diselitkan. Rupanya ia sebuah puisi yang
dikarang oleh Min Jung Ho untuknya. Sedikit sebanyak, ia menguatkan semangat
Jang Geum ketika itu.
Young Ro
yang telah ditugaskan oleh Puan Choi untuk mengintip gerak-geri jang Geum,
memberitahu Geum Young tentang buku-buku yang dibaca oleh Jang Geum. Geum Young
berasa hairan namun kagum kerana Jang Geum membaca buku-buku perubatan dan
beranggapan itulah penyebab Jang Geum selalu menemui perkara-perkara baru.
Puan
Jung sedang menjalani pemeriksaan rutin kesihatan dengan seorang doktor wanita
ketika Puan Han dan Puan Choi datang untuk perbincangan ringkas mengenai satu
festival yang bakal berlangsung. Ia merupakan satu pertandingan antara wanita
istana untuk mencipta hidangan baru.
Ketika
doktor wanita yang merawat Puan Jung keluar, dia terserempak dengan Jang Geum
lalu bertanyakan tentang perkembangan deria rasanya (doktor yang sama merawat
Jang Geum). Jang Geum hanya berkata semuanya telah pulih sebelum cepat-cepat
berlalu kerana sedang diperhatikan Puan Choi.
Ketika
melalui dapur, Puan Choi mendapati Geum Young sedang berlatih menggunakan
kaedah yang diajar oleh Puan Han kepada Jang Geum. Ini agak menyinggungnya
kerana seolah-olah kaedah yang diajarnya tidak cukup bagus. Young Ro
menerangkan kepada Puan Han bahawa Geum Young sebenarnya sedang meniru cara
Jang Geum; membaca buku-buku perubatan serta memasak tanpa merasa makanan
tersebut, Puan Choi curiga apabila mendapat tahu Jang Geum ditegah oleh Puan Han
daripada merasa makanan yang dimasaknya, dia juga teringat kembali masalah
deria rasa yang dikatakan oleh doktor wanita yang terserempak dengan Jang Geum
tadi.
Ketika
tiba hari untuk wanita-wanita istana mempersembahkan hidangan masing-masing,
Young Ro sengaja duduk di sebelah jang Geum. Kesemua mereka diadili sendiri
oleh Puan Han dan Puan Choi. Ketika tiba giliran hidangan Young Ro, Puan Choi
sengaja tidak berkata apa-apa, manakala Puan Han juga senyap kerana itu memang
karakternya; agak pendiam.
Selepas
semuanya selesai diadili, Puan Choi meminta mereka semua bertukar hidangan
dengan rakan sebelah dan diminta untuk memberi komen. Jang Geum yang
serba-salah, menagtakan hidangan Young Ro sedap, dan pada masa ini Puan Han
diserang rasa bimbang. Rupa-rupanya Young Ro sengaja memasak hidangannya dengan
rasa masin berlebihan serta menggunakan bahan yang tidak sesuai.
Kesempatan
ini digunakan oleh Puan Choi untuk mengadu kepada Puan Jung bahawa jang Geum
kehilangan deria rasa dan tidak sepatutnya membiarkan dia bertugas di dapur
diraja. Puan Jung segera menguji jang Geum dengan 3 jenis air, dan ternyata dia
gagal memberikan jawapan sebenar. Puan Han mempertahankan bahawa Jang Geum
seorang yang berbakat besar dan mampu memasak sebarang hidangan. Puan Choi
mencabar Puan Han jika jang Geum benar-benar berbakat, dia perlu memasak daging
ikan paus yang berada dalam simpanan, yang mana belum pernah dirasai oleh
sesiapa antara mereka.
Jang
Geum kembali bertemu dengan Doktor Jung di ladang istana dan merayu agar
dilakukan ujikaji sengatan lebah ke atasnya. Akhirnya doktor Jung mengalah dan
memberikan rawatan tersebut. Rawatan itu menyebabkan jang Geum mengalami
gatal-gatal dan bengkak. Dia segera menguji deria rasanya dengan mencuba bahan
masakan di dapur, namun tiada perubahan, membuatkannya hampa.
Keesokan
harinya, Jang Geum dikejutkan dengan berita untuk bersiap sedia memasak daging
ikan paus. Jang Geum segera mencari Duk Goo dan bertanyakan bagaimana rasa
daging ikan paus. Duk Goo yang kebetulan sedang mencari ubat untuk merawat
masalah deria rasa Jang Geum, ada membawakan hati khinzir. Dia menyuruh jang
Geum merasanya sedikit dengan harapan ia boleh menyembuhkan. Pada masa ini Jang
Geum mengadu ia sangat pahit, sebaliknya Duk Goo hanya tergelak dan mengatakan
hati khinzir memanglah pahit.
Dengan
info yang diberi Duk Goo bahawa rasa daging ikan paus seperti daging lembu,
Jang Geum memasak hidangan tersebut. Puan Choi, Puan Han dan geum Young turut
memasak daging tersebut. Bagaimanapun, Puan Choi dan geum Young mendapat
bantuan daripada Choi Pan Sool (abang Puan Choi) untuk mendapatkan resipi
rahsia daging berkenaan. Berbeza dengan Puan Han dan Jang Geum yang perlu
memasak dengan kreativiti masing-masing.
Puan
Jung mencuba semua masakan mereka, dan Puan Choi tidak puas hati apabila
hidangan Jang Geum turut akan dipersembahkan kepada maharaja.
1) Entri sebelum: Jewel In The Palace Episod 132) Entri selepas: Jewel InThe Palace Episod 15
3) Ke Halaman senarai episod
No comments:
Post a Comment