Thursday, June 21, 2012

Jewel In The Palace Episod 8


Jang Geum kembali ke dapur istana, dan masing-masing sedang sibuk dalam menghadapi peperiksaan. Dalam masa yang singkat, Jang Geum cuma mengejar kembali segala silibus yang dia tertinggal. Puan Han tidak dapat melatihnya secara peribadi disebabkan peraturan yang melarang berbuat demikian. Oleh kerana Puan Han memang jenis ‘skema’, sudah tentu setiap peraturan dipatuhi.

 Tapi Puan Choi... nampaknya tidak mengendahkan peraturan itu. Geum Young diajarnya secara peribadi. Geum Young bagaimanapun turut membantu Jang Geum dengan meminjamkannya buku resipi.

Ini adalah Ratu, ibu kepada Maharaja.

Dia ini bakal memberi banyak pengaruh terhadap kehidupan Jang Geum.

Biasanya soalan peperiksaan dibuat oleh Ratu, tapi kali ini salah seorang Ketua Wanita Istana yang sudah lebih 50 tahun berkhidmat diberi penghormatan untuk membuat soalan.

Beliau diberi penghormatan dan dalam masa yang sama bakal bersara esok hari. Namun diperkenankan oleh Ratu untuk terus berada di istana untuk melatih wanita istana dapur selama seminggu, iaitu sehingga habis latihan khas.

Peperiksaan yang berlangsung terbahagi kepada 2 peringkat. Pertama, menjawab soalan bertulis. Siapa yang paling cepat menjawab dan dengan tepat, akan diberi peluang menjadi orang pertama memilih bahan-bahan pada peringkat kedua. Maka, orang yang terawal mempunyai peluang memilih bahan-bahan yang terbaik. Lagi lambat, lagi terbelakanglah orang tersebut dalam memilih bahan. Sesiapa yang lulus, seterusnya menjalani latihan selama 7 hari sebelum bergraduasi.

 Soalan satu sahaja...bukannya soalan objektif macam SPM...hihi.

Seperti yang dijangka, Geum Young menjadi orang pertama berjaya menjawab soalan. Agak malang bagi Jang Geum kerana tidak berjaya menjawab soalan. Jawapannya adalah ‘Pau’(dumpling). Maka, hidangan yang mereka buat pada peringkat kedua adalah sup berserta pau.

Walaupun Jang Geum menjadi antara orang terakhir memilih bahan iaitu daging bahagian pinggul (bukan bahan terbaik untuk dibuat sup), namun sup yang dimasaknya ada rasa yang istimewa.

Oleh kerana semasa kecil dia hidup susah, orang-orang miskin dalam komunitinya biasa menggunakan bahagian ini untuk dibuat sup. Pengalaman ini digunakan sebaiknya untuk diaplikasikan dalam masakan. Peringkat kedua ini akan bersambung keesokan hari, maka bahan-bahan masakan mereka ditinggalkan di tempat peperiksaan yang hanya dijaga oleh seorang wanita istana. Bahan-bahan ini adalah di bawah tanggungjawab setiap calon, dan tidak akan diganti jika hilang. Kebetulan salah satu bahan adalah tepung, iaitu satu bahan yang agak mahal.

Bersama-sama calon wanita istana bahagian dapur, turut digandingkan dengan calon wanita istana bahagian jahitan. Bersama-sama Jang Geum adalah calon tukang jahit yang sangat muda, baru berusia 16 tahun. Tukang jahit ini akan menjahit pakaian mereka, kerana jika wanita istana bahagian dapur lulus, mereka akan mengenakan pakain baru sebagai tanda mereka adalah wanita istana terlatih. Lebih kurang macam baju graduate lah...

Pada waktu malam, Yeon Saeng dan Jang Geum berhasrat untuk menggunakan sedikit daripada bahan untuk latihan. Namun, alangkah terkejutnya Jang Geum apabila mendapati tepungnya hilang. Walaupun diadukan kepada Wanita istana pertama, Puan Jung, beliau tidak dapat membantu memandangkan peraturan tidak membenarkan. Jang Geum mencari di setiap dapur, dan akhirnya menemui ia telah dicuri oleh calon tukang jahit yang digandingkan dengannya.

Jang Geum merayu agar tepungnya dipulangkan, namun wanita tukang jahit itu enggan. Keadaan ini menimbulkan kekecohan hingga mengundang kedatangan pengawal istana (yang turut ada kehadiran Min Jung Ho). Selepas disoal-siasat, rupa-rupanya wanita tukang jahit itu berhasrat membuat pau dan sup untuk dihidangkan kepada ibunya, juga wanita istana yang bakal bersara keesokan hari. (wanita istana yang membuat soalan peperiksaan). Oleh kerana dia hanya mengetahui pada saat akhir, dia terdesak untuk mencuri tepung, kerana bimbang tidak berkesempatan bertemu lagi dengan ibunya selepas itu.

Sudah tentu ini mengejutkan ketua pengawal, kerana wanita istana tidak dibenarkan berkahwin apatah lagi mempunyai anak. Setelah wanita istana itu dipanggil, dia mengakuinya. Namun, perkara itu disenyapkan. Malah Jang Geum menolong wanita tukang jahit itu menyiapkan pau untuk dihidangkan.

Walaupun ibu (wanita istana) kepada wanita tukang jahit itu meminta anaknya memulangkan tepung tersebut, Jang Geum dengan rela menyempurnakan hajat tukang jahit muda itu yang mahu menyediakan ‘hidangan terakhir’ untuk ibunya.

Ya, siapa lagi yang lebih memahami tentang perpisahan antara anak dan ibu kalau bukan Jang Geum sendiri? Apatah lagi dia sendiri melalui pengalaman menyuapkan makanan terakhir ke mulut ibunya sebelum ibunya meninggal dunia.

Jang Geum begitu buntu, kerana tidak tahu di mana dia harus mencari tepung. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu di ladang....

kobis cina!

Keesokan hari, peperiksaan diteruskan. Min Jung Ho yang sedang bertugas di istana,

nampaknya teringat-ingat akan Jang Geum, lantas disuruhnya salah seorang pengawal memerhatikan keadaan Jang Geum di kawasan peperiksaan. Dalam hati sudah ada bibit-bibit cinta? =)
Geum Young memasak pau yang sangat istimewa,

dan mendapat pujian kerana keadaan ‘pau di dalam pau’ yang diciptanya mengekalkan kehangatan pau berkenaan walaupun dalam tempoh yang lama.

Jang Geum menggunakan kobis cina untuk menggantikan tepungnya yang hilang sebagai ‘bungkusan’ pau. Sida Sang San yang menjadi salah seorang pemeriksa begitu berkenan dengan masakan Jang Geum, dan memujinya.

Namun, sudah menjadi peraturan, setiap calon peperiksaan mesti menggunakan bahan yang disediakan. Kehilangan tepung yang berlaku pada Jang Geum dianggap satu kecuaian, dan sudah tentu menjejaskan pemarkahan. Walaupun Sida Sang San memihaknya, pemeriksa yang lain mempertahankan peraturan yang telah ditetapkan.

Pemilihan calon yang lulus juga sangat ketat pada musim itu, iaitu hanya 20 orang akan dipilih, manakala selebihnya akan dihantar pulang. Tempat pertama diperolehi oleh Geum Young. Seterusnya diumumkan calon yang gagal.

Dan....nama Jang Geum disebut sebagai antara calon yang gagal. Bermakna, malam itu juga dia harus keluar dari istana.
1) Entri sebelum: Jewel In The Palace Episod 7
2) Entri selepas: Jewel InThe Palace Episod 9
3) Ke Halaman senarai episod

No comments:

Post a Comment