Monday, June 25, 2012

Jewel In The Palace Episod 15



Segalanya makin jelas apabila maharaja bersantap, ternyata daging ikan paus yang dimasak Jang Geum mendapat pujian.

Sementara itu, Yeon Saeng di dapur mencuba daging yang dimasak Jang Geum, lalu memujinya. Oleh kerana ingin tahu, Jang Geum mencubanya meskipun selama ini ditegah oleh Puan Han (agar Jang Geum tidak terlalu kecewa dengan deria rasanya yang tidak berfungsi). Jang Geum tergamam apabila dia dapat merasai masakan itu. Dia segera teringat hati khinzir yang dirasanya tadi, bagaimana lidahnya boleh merasai kepahitan. Barulah dia sedar, kesan rawatan sengatan lebah itu sudah menunjukkan kesan menyembuhkan!

Jang Geum segera mengkhabarkan berita gembira tersebut kepada Puan Han. Puan Jung mengadakan sesi makan bersama semua wanita istana agar mereka dapat mencuba rasa daging ikan paus. Ini bagi menambahkan pengetahuan dan pengalaman dalam bidang makanan. Puan Choi yang masih tidak berpuas hati bagaimanapun masih mempertikaikan kebolehan Jang Geum. Dia meminta agar Jang Geum diuji agar dapat diketahui sejauh mana teruknya kehilangan deria rasanya, dan jika Jang Geum benar-benar berkebolehan, dia mesti lulus ujian itu. Jang Geum cuba untuk memberitahu bahawa deria rasanya sudah pulih, namun Puan Choi langsung tidak memberi ruang untuk Jang Geum bersuara.

Secara diam-diam, Puan Han memberitahu Puan Jung tentang deria rasa Jang Geum yang sudah kembali pulih. Namun Puan Jung berkata biarlah Puan Choi menyempurnakan niatnya untuk menguji Jang Geum.  Jang Geum diuji untuk membezakan rasa sos yang diperbuat daripada udang yang berlainan. Ujian ini sebenarnya sangat sukar meskipun untuk seseorang yang berpengalaman. Puan Choi memang nampak begitu ketara mahu menjatuhkan Jang Geum.
 

Jang Geum bagaimanapun dapat menjawab soalan dengan mudah. Sehingga pada satu tahap jang Geum tidak tahan lagi dan menjelaskan dia ingin memberitahu sesuatu. Namun, Puan Han terlebih dahulu menjelaskan bahawa deria rasa Jang Geum sudah pulih sejurus selepas selesai memasak tadi. Puan Jung menerangkan bahawa kehilangan deria rasa yang dihadapi Jang Geum merupakan satu penderitaan yang berat, dan sebagai wanita istana yang bertugas di dapur mereka semua sepatutnya berkongsi beban yang ditanggung oleh Jang Geum. Tapi sebaliknya Jang Geum terpaksa melalui semua itu berseorangan malah tiada sesiapa yang menenangkan dirinya. Ini sudah tentu sangat memalukan Puan Choi yang memang terang-terangan menambahkan lagi duka Jang Geum. Puan Jung meminta mereka meraihkan jang Geum yang sudah kembali pulih dengan memasak makanan yang istimewa.

Ketika mereka semua berkumpul untuk majlis keraian Jang Geum, Jang Geum sebaliknya meminta kebenaran kepada Puan Jung untuk keluar bagi mengucapkan terima kasih kepada Doktor Jung yang merawatnya. Jang Geum memasakkan hidangan untuk Doktor Jung sebagai tanda terima kasih.

Sekembalinya dari ladang, Yeon Saeng meluahkan rasa tidak puas hati kepada Jang Geum kerana Jang Geum langsung tidak berkongsi masalah dengannya sedangkan mereka rakan sebilik dan juga rapat sejak kecil. Jang Geum menyatakan dia terlalu sedih hingga tidak dapat memikirkan tindakan yang harus diambil. Pada masa itu, dia teringat akan Min Jung Ho yang memberinya kata-kata semangat serta puisi yang membuatkan hatinya tenang. Jang Geum bertanyakan pendapat Yeon Saeng, apa yang harus dilakukannya bagi menunjukkan tanda terima kasih kepada insan (Jang Geum tidak menyatakan siapa secara spesifik) yang banyak menguatkan semangatnya ketika ditimpa kesusahan. Yeon Saeng mencadangkan agar jang Geum memasakkannya hidangan, kerana Puan Jung pernah menyatakan apabila memasak kita harus menggunakan sepenuh hati. Maka, dengan memasakkan hidangan kepada seseorang, ia sama seperti memberi hati kita kepada orang tersebut.

Jang Geum segera ke dapur dan menyediakan makanan untuk Min Jung Ho. Pada masa ini, Geum Young melihatnya dan mengucapkan rasa senang hati kerana deria rasa Jang Geum yang sudah pulih. Ini disebabkan Geum Young merasakan hanya Jang Geum merupakan saingannya.

Jang Geum memberi hidangan yang telah dimasaknya kepada Min Jung Ho dan sudah tentu diterima dengan hati yang terbuka. Jang Geum menyatakan apabila dia memasak, dia akan membayangkan senyuman orang yang akan menikmatinya.

Setelah Jang Geum kembali, Min Jung Ho menikmati masakan Jang Geum dengan gembira di pejabatnya. Pada masa ini, seorang pengawal memberitahunya bahawa seorang wanita istana dapur mahu berjumpanya. Min Jung Ho menyangka jang Geum kembali ingin bertemunya, rupa-rupanya ia adalah Geum Young yang mahu menghadiahkan sesuatu buatnya, iaitu sebuah bekas dakwat. Geu Young turut mengadu akan dirinya yang agak letih dan tidak begitu fokus. Min Jung Ho mengatakan seseorang telah memberitahunya ketika sedang memasak dia hanya perlu membayangkan senyuman orang yang menikmati makanan tersebut. Ini sudah tentu membuat hati Geum Young berbunga-bunga. Malah ia mengembalikan semula semangat Geum Young dan begitu ceria selepas itu.

Duk Goo (selaku tukang masak) telah diberikan tugasan khas oleh pihak istana bersama seorang doktor, (Doktor Yoon Soo) dan Min Jung Ho. Mereka dikehendaki menjaga pengasuh maharani yang sedang sakit kuat di kediamannya yang terletak di sebuah tokong. Min Jung Ho sebenarnya menyertai kumpulan itu untuk melakukan satu penyiasatan rahsia di kawasan berhampiran.

Soalan pertama untuk pertandingan memasak akhirnya keluar. Ia diberikan sendiri oleh Ratu, iaitu mereka perlu memasak menggunakan bahan yang tidak digunakan oleh kebanyakan orang, atau lebih kepada bahan yang murah dan terbuang. Ini kerana keluarga diraja ingin memahami penderitaan orang miskin yang tidak mampu membeli bahan-bahan mahal.

Jang Geum begitu bersemangat dan berulang kali menyatakan kepada Puan Han bahawa mereka mesti menang. Puan Han kelihatan sedikit resah dengan perlakuan Jang Geum yang lebih memikirkan kemenangan berbanding objektif soalan pertandingan iaitu keluarga diraja yang mahu memahami penderitaan rakyat miskin.

Mereka dibenarkan untuk keluar istana bagi mendapatkan bahan-bahan. Puan Choi agak risau kerana selama ini dia sering menggunakan bahan-bahan berkualiti. Dia mendapatkan bantuan abangnya. Orang suruhan Choi pan Sool diarahkan untuk mencari bahan-bahan terbuang yang boleh dibuat makanan, namun Geum Young berkeras mahu mencari sendiri bahan tersebut. Dia akhirnya menemui idea untuk menggunakan kepala ikan. Ini sangat menggembirakan Puan Choi dan mereka segera kembali ke istana bagi memulakan proses memasak. Geum Young menggunakan tulang lembu bagi membuat sup.

Sementara itu, jang Geum mendapat idea menggunakan lebihan buah plum yang gugur. Puan Han kembali ke istana terlebih dahulu, manakala Jang Geum berjanji akan menyusul selepas mendapat tulang lembu yang terbaik untuk dibuat sup.

Puan Han agak bimbang apabila Jang Geum tidak pulang walau sehingga waktu malam. Dia bimbang sup tulang lembu itu tidak mempunyai masa yang cukup untuk dimasak. Sementara itu Geum Young memasak sup tulang lembu tanpa henti dari siang ke malam, hingga keesokannya. Jang Geum hanya kembali ke istana pada esok pagi selepas mendapatkan tulang lembu yang terbaik. Puan Han menyatakan bahawa mereka tidak cukup masa untuk memasak sup yang sempurna, namun Jang Geum menyatakan dia ada cara untuk melakukannya dengan masa yang singkat.

Akhirnya, hidangan mereka dihidangkan. Ratu begitu tertarik dengan keistimewaan hidangan Puan Han dan Puan Choi hingga sukar membuat keputusan. Namun setelah mencuba hidangan sup kedua-dua mereka, Ratu segera mengumumkan bahawa sup Puan Choi lebih baik dan seterusnya menjadi pemenang. Hal ini sangat mengejutkan Jang Geum yang begitu berkeyakinan untuk menang, manakala Puan Han menyatakan dia tahu akan sebab kekalahan mereka.
 
1) Entri sebelum: Jewel In The Palace Episod 14
2) Entri selepas: Jewel InThe Palace Episod 16
3) Ke Halaman senarai episod

No comments:

Post a Comment