Seo Chun Soo bekerja
sebagai pembuat pisau untuk menyara keluarga di sebuah kampung terpencil dan
hidup mereka sekeluarga begitu bahagia.
Si Jang Geum ni memang
‘anak bapak’. Seo Chun Soo memang begitu memanjakan Jang Geum. Setiap
pertanyaan dan permintaan Jang Geum akan diturutinya, tanpa menyedari hal itu
bakal memudaratkan mereka di kemudian hari. Malah Seo Chun Soo menceritakan
latar belakangnya sebagai bekas pegawai pengawal istana apabila ditanya Jang Geum,
sesuatu yang tidak patut diketahui. Belum pun lama, jang Geum sudah
‘terbocorkan’ rahsia itu di hadapan ibunya. Di sini dah kantoi mulut Jang Geum
ni memang tak boleh kena tutup dan agak ‘megah’ dengan sejarah kedudukan
ayahnya yang berpangkat.
Ming Yi sangat berang
apabila mengetahui suaminya memberitahu hal itu kepada Jang Geum kerana selama
ini Ming Yi yang begitu berhati-hati dan cuba mengelakkan sebarang kemungkinan
yang boleh mendedahkan identiti mereka. Jang Geum dilarang sama sekali bergaul
dengan anak-anak yang lebih tinggi tarafnya, terutama yang berkaitan dengan
pihak istana. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati pada Jang Geum yang
sememangnya ada perasan ingin tahu dan mencuba semua perkara. Namun oleh kerana
kasihan akan Jang Geum yang begitu bersungguh-sungguh mahu belajar membaca,
Ming Yi bersetuju mengajar Jang Geum secara peribadi asalkan dia berhenti
daripada bergaul dengan anak-anak yang bertaraf lebih tinggi.
Seo Chun Soo mengingatkan
Jang Geum agar tidak sekali-kali menceritakan perkara tersebut kepada sesiapa
atau nyawa mereka akan terancam. Jang Geum berjanji untuk ‘menutup rapat’
mulutnya.
Akhirnya perkara yang
ditakuti berlaku juga. Kain putih berlumuran darah Permaisuri Yiun sampai ke
tangan puteranya yang telah diangkat menjadi maharaja. Maharaja Yeong Shan
sememangnya direkodkan sebagai maharaja
paling kejam dalam sejarah Korea. Sebaik sahaja mengetahui bahawa bondanya mati
disebabkan menjalani hukuman paksaan meminum racun, baginda sangat murka dan
mengeluarkan arahan membunuh kesemua yang terlibat dengan hukuman tersebut.
Hatta orang yang hanya menjadi saksi turut dibunuh. Maka, tentera dikerah
mencari kesemua yang terlibat di segenap penjuru negara. Malah gambar Seo Chun
Soo turut sama disebarkan sebagai orang yang terlibat.
Pada masa yang sama, satu
pesta diadakan di kampung tempat tinggal keluarga Jang Geum. Jang Geum yang
begitu teruja dengan satu perlawanan gusti meminta agar ayahnya turut serta
kerana dia merasakan ayahnya seorang yang gagah, memandangkan dia seorang bekas
pegawai istana yang melindungi keselamatan maharaja. Seo Chun Soo, seperti
biasa menuruti setiap kehendak Jang Geum. Suasana begitu meriah apabila Seo
Chun Soo menguasai perlawanan. Pihak lawan yang tidak mahu mengaku kalah,
menggunakan taktik kotor dengan menikam dirinya sendiri dan mengatakan Seo Chun
Soo yang melakukannya. Keadaan ini menimbulkan kekecohan lalu para penonton
melemparkan kata-kata hinaan ke atas Seo Chun Soo. Jang Geum yang tidak tahan
melihat ayahnya dicaci sebagai golongan bertaraf rendah, menjerit dan
menyatakan ayahnya adalah seorang terhormat dan merupakan pegawai pengawal istana yang
melindungi maharaja.
Hah, kali kedua mulut
Jang Geum membocorkan rahsia identiti ayahnya lagi!
Keadaan sudah tentu
bertambah buruk, dan mereka mula menyedari bahawa Seo Chun Soo adalah di antara
orang-orang yang dikehendaki oleh maharaja melalui gambar yang disebarkan.
Sebelum ditangkap dan dibawa pergi, Seo Chun Soo sempat menyuruh Jang Geum
segera balik ke rumah dan memaklumkan kepada ibunya.
Ming Yi terkejut apabila
mendapat tahu cerita tentang suaminya yang ditangkap. Tanpa membuang masa, Ming
Yi dan Jang Geum bergegas meninggalkan rumah dengan barang keperluan yang
sempat tercapai, termasuk sebilah pisau pemberian ayah Jang Geum. Mereka berdua
menjadi buruan kerana ahli keluarga orang yang terlibat dengan insiden hukuman
Permaisuri Yiun turut ditangkap dan akan dikerah menjadi hamba.
Dalam pelarian itu, Ming
Yi turut mencari jalan untuk menemui suaminya, sekurang-kurangnya buat kali
terakhir sebelum dihukum. Pelarian itu membawa mereka sehingga ke Han Yang, iaitu
tempat yang akan mengembalikan MingYi kepada kehidupan lampau. Ketika mencari
maklumat, mereka ditemukan dengan Na Joo Daek, isteri kepada seorang pembuat
arak. Pada waktu itu juga, Jang Geum dipakaikan pakaian seperti budak lelaki
oleh ibunya agar mereka tidak disyaki sebagai orang buruan.
Sementara itu di istana,
Han Baek Yong sedang sibuk di dapur istana, dan sedang menangani masalah
kekurangan bekalan bahan mentah dan kekurangan kakitangan. Kehadiran sepucuk
surat daripada Ming Yi benar-benar mengejutkannya, kerana selama bertahun-tahun
dia sentiasa tertanya-tanya akan nasib sahabat baiknya itu.
Masalah kekurangan bahan
mentah dijadikan alasan oleh Han Baek Yong meminta kebenaran keluar dari
istana. Kesempatan itulah diambilnya untuk bertemu dengan Ming Yi. Pada Han
Baek Yong, Ming Yi menceritakan segala kejadian dan tujuannya kedatangannya
untuk menemui suaminya yang ditangkap oleh pihak istana. Han Baek Yong sendiri
tidak begitu yakin akan keadaan nyawa suaminya memandangkan maharaja bertindak
kejam membunuh semua yang terlibat dengan penghukuman bondanya meskipun hanya
orang-orang yang melihat, apatah lagi Seo Chun Soo sebagai orang yang terlibat
secara langsung. Namun dia berjanji akan membantu sedaya yang mampu, dan mereka
berjanji untuk bertemu lagi.
Tindak-tanduk Han baek
Yong yang agak mencurigakan disedari oleh Wanita Istana Pertama (masih Wanita Istana Pertama yang menjalankan
hukuman ke atas Ming Yi a.k.a makcik kepada Choi Sung Geum), lalu mengarahkan
anak saudaranya mengekori Han Baek Yong ketika keluar.
Alangkah terperanjat
beruknya Choi Sung Geum apabila mendapati Han Baek Yong bertemu dengan Ming Yi
yang dianggapnya telah mati. Memikirkan rahsia lampau iaitu insiden cuba
meracuni makanan ratu suatu ketika dahulu dikhuatiri akan terbongkar, Choi Sung
Geum meminta bantuan abangnya Choi Pan Sool untuk membunuh Ming Yi. Han baek
Yong yang menyedari Ming Yi ditangkap oleh pihak keluarga Choi, telah
melaporkan kepada pihak pengawal istana bahawa keluarga Choi menyembunyikan
keluarga orang dikehendaki di kediaman mereka. Han Baek Yong berpendapat,
sekiranya Ming Yi berada di tangan Keluarga Choi, nyawanya pasti melayang. Jika
ditangkap pengawal, sekurang-kurangnya nyawanya masih selamat, dan hanya
dipenjarakan. Hanya itu yang terdaya dilakukan oleh Han Baek Yong agar
sahabatnya keluar dari cengkaman keluarga Choi.
Setelah kediaman keluarga
Choi digeledah, Ming Yi dan Jang Geum ditemui oleh pihak pengawal. Choi Pan
Sool yang tidak mahu Ming Yi menceritakan rahsia adiknya kepada pihak berkuasa,
telah mengarahkan orang-orangnya melakukan serangan ke atas pihak pengawal yang
dalam perjalanan membawa Ming Yi dan Jang Geum ke kawasan tahanan lain. Dalam
serangan itu, Ming Yi dan Jang Geum berjaya melarikan diri, namun Ming Yi
cedera parah kerana terkena anak panah di dada kirinya.
Mereka berdua bersembunyi
di sebuah gua. Ketika Jang Geum keluar mencari makanan, Ming Yi menyedari
sesuatu, iaitu tentang ‘wanita ketiga’ yang pernah diceritakan oleh suaminya
suatu masa dahulu. Perkataan terakhir yang menjadi teka-teki selama ini, yang
mengandungi perkataan ‘perempuan’ dan ‘anak lelaki’. Jang Geum yang pada masa
itu kebetulan masih dalam penyamaran sebagai anak lelaki. Ming Yi juga sedar
sebenarnya Jang Geum lah yang menjadi ‘penyebab’ kepada kematian (walaupun
tidak ditunjukkan sama ada suaminya telah dihukum mati atau belum) suaminya
kerana mendedahkan identiti mereka. Ming Yi juga akur bahawa memang benar
dengan keadaannya yang sangat parah, dia akan mati, menepati ciri-cirinya
sebagai ‘wanita kedua’ dalam hidup suaminya.
Dengan hati yang sangat
perit, Ming Yi sedar bahawa Jang Geum bakal hidup sebagai anak yatim piatu.
Dengan kudrat yang masih bersisa, dia telah menulis surat untuk dibaca Jang
Geum apabila dia dewasa kelak. Ming Yi juga menceritakan kepada Jang Geum
bahawa dia pernah menjadi wanita istana suatu ketika dahulu. Ming Yi
mewasiatkan agar Jang Geum mengikut jejak langkahnya dan berusaha menjadi
Wanita Istana Pertama agar menulis kisahnya di dalam sebuah journal. Journal ini
adalah sebuah buku khas yang hanya diturunkan secara warisan kepada pemegang
jawatan Wanita Istana Pertama dalam hierarki wanita dapur istana.
Ming Yi juga memberitahu
jika Jang Geum berjaya memasuki dapur diraja, di satu sudut ada disembunyikan
sebuah diari peribadi miliknya ketika masih bergelar wanita istana. Diari itu
mencatatkan segala kisah peribadi dan juga resipi-resipi rahsianya. Namun, Ming
Yi tidak memaksa Jang Geum melaksanakan semua itu, semuanya terpulang kepada
Jang Geum sendiri. Jika diamati, wasiat ini sebenarnya lebih kepada satu ‘target’
untuk memotivasikan Jang Geum agar terus fokus menjalani hidupnya yang tiada
sesiapa.
Tinggallah Jang Geum
sebatang kara. Sedih sangat ketika Jang Geum menyuapkan buah beri hutan kepada
ibunya sebagai santapan terakhir sebelum ibunya itu menghembuskan nafas
terakhir. Jang Geum mengebumikan ibunya di gua itu juga, dan akhirnya
meninggalkan tempat tersebut bagi meneruskan hidup serta memenuhi wasiat ibunya
agar bergelar ‘Wanita Istana Pertama'.
1) Entri sebelum: Jewel In The Palace Episod 1
2) Entri selepas: Jewel InThe Palace Episod 3
3) Ke Halaman senarai episod
2) Entri selepas: Jewel InThe Palace Episod 3
3) Ke Halaman senarai episod
No comments:
Post a Comment